Justice For All Malaysia

Writeups

Budaya Politik Janggal di Bukit Antarabangsa

Oleh Rozaini Mohd Rosli

Perjumpaan bersama penduduk yang terlibat dalam bencana tanah runtuh Bukit Antarabangsa dan sidang media Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim, telah menyaksikan suatu pengumuman yang mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri Selangor dalam memelihara kebajikan mangsa-mangsa tanah runtuh Bukit Antarabangsa yang berlaku 6 Disember lalu. Perkara itu telah diperakukan oleh para mangsa sendiri apabila mereka memberi tepukan tanda percaya mereka dengan keterangan dan janji-janji Menteri Besar, Khalid Ibrahim semasa sidang beliau bertemu para penduduk yang terlibat di Madrasah Addiniyah, Bukit Antarabangsa, 21 Disember, 2008 lalu.

Di antara bantuan-bantuan yang telah disebutkan ialah:

Bantuan balik ke sekolah bagi anak-anak dari peringkat tadika hingga ke tingkatan lima

Bantuan RM500 sebulan selama tiga bulan kepada:

Keluarga yang berpendapatan RM1500 ke bawah, orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas yang hilang upaya

Bantuan logistik kepada 175 keluarga yang dibenarkan pulang

Bantuan RM1000 sebulan sewaan rumah bagi 81 keluarga yang tidak dibenarkan pulang ke rumah kerana risiko kediaman yang belum jelas tahap keselamatannya.

Bagi 14 keluarga yang telah ranap rumah mereka, Kerajaan Selangor menawarkan mereka membeli mana-mana rumah PKNS pada kadar 10-15% diskaun atau menyewa di mana-mana rumah yang disediakan PKNS pada kadar diskaun 50% bagi tempoh satu tahun.

Walaupun Kerajaan Negeri tidak dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan apa yang telah dilaksanakan sehingga kini bagi membantu mangsa kejadian, para mangsa yang yang terlibat telah memberikan thumbs up kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Selangor. Sepanjang sesi bersama penduduk yang telah berlangsung sebelum sidang media, Menteri Besar telah menyatakan dengan jelas tahap keupayaan Kerajaan Negeri Selangor dalam membantu mangsa dan mereka yang terlibat akibat tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Sebarang bidang kuasa yang di luar jangkauan kuasa Kerajaan Negeri Selangor juga telah diterangkan dengan jelas oleh Menteri Besar Selangor itu. Kerajaan Negeri Selangor sendiri belum lagi diumumkan mengenai punca-punca sebenar dan laporan penuh mengenai kejadian yang dijangka dihebahkan seawalnya bulan hadapan.

Dalam perkembangan yang lain, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz dengan yakin mengatakan bahawa pembangunan di kawasan lereng-lereng bukit Malaysia adalah di bawah kuasa kerajaan negeri(Sunday Star, 21 December, 2008, Page N5).

Jika diteliti kehendak Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong sebenarnya berkuasa penuh meluluskan kawasan-kawasan tertentu sebagai kawasan pembangunan.

Perkara 92. Rancangan pembangunan negara.

(1) Jika, selepas sesuatu syor diterima daripada suatu jawatankuasa pakar dan selepas berunding dengan Majlis Kewangan Negara, Majlis Tanah Negara dan Kerajaan mana-mana Negeri yang berkenaan, Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa adalah berfaedah bagi kepentingan negara dijalankan sesuatu rancangan pembangunan di mana-mana kawasan atau kawasan-kawasan di dalam satu atau beberapa Negeri, maka Yang di-Pertuan Agong boleh, selepas menyiarkan rancangan itu, mengisytiharkan kawasan atau kawasan-kawasan itu sebagai kawasan pembangunan; dan sesudah itu Parlimen berkuasa melaksanakan rancangan pembangunan itu atau mana-mana bahagiannya, walaupun mana-mana perkara yang dimaksudkan oleh rancangan itu merupakan perkara-perkara yang, jika tidak kerana Perkara ini, hanya Negeri-Negeri sahaja berkuasa membuat undang-undang mengenainya.

Perkara 91. Majlis Tanah Negara.

(1) Maka hendaklah ada suatu Majlis Tanah Negara yang terdiri daripada seorang Menteri sebagai pengerusi, seorang wakil dari setiap Negeri yang hendaklah dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri, dan apa-apa bilangan wakil Kerajaan Persekutuan yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan tetapi, tertakluk kepada Fasal (5) Perkara 95E, bilangan wakil Kerajaan Persekutuan tidak boleh melebihi sepuluh. (2) Pengerusi boleh mengundi atas apa-apa soal di hadapan Majlis Tanah Negara tetapi tidaklah mempunyai undi pemutus. (3) Majlis Tanah Negara hendaklah dipanggil bermesyuarat oleh pengerusi seberapa kerap yang difikirkannya perlu tetapi sekurang-kurangnya satu mesyuarat hendaklah diadakan pada tiap-tiap tahun. (4) Jika pengerusi atau seseorang wakil sesuatu Negeri atau Kerajaan Persekutuan tidak dapat hadir dalam sesuatu mesyuarat, maka pihak berkuasa yang melantiknya itu boleh melantik seorang lain untuk mengambil tempatnya dalam mesyuarat itu. (5) Menjadi kewajipan Majlis Tanah Negara untuk membentuk, dari semasa ke semasa, dengan berunding dengan kerajaan Persekutuan, Kerajaan-Kerajaan Negeri dan Majlis Kewangan Negara suatu dasar negara untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah di seluruh Persekutuan bagi perlombongan, pertanian, perhutanan atau apa-apa maksud lain, dan untuk mentadbirkan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengannya; dan

Kerajaan-Kerajaan Persekutuan dan Negeri hendaklah mengikuti dasar yang dibentuk sedemikian. (6) Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan mana-mana Negeri boleh merundingi Majlis Tanah Negara berkenaan dengan apa-apa perkara lain yang berhubungan dengan penggunaan tanah atau berkenaan dengan apa-apa perundangan yang dicadangkan mengenai tanah atau pentadbiran mana-mana undang-undang yang sedemikian, dan menjadi kewajipan Majlis Tanah Negara untuk menasihati Kerajaan itu mengenai mana-mana perkara yang sedemikian.

Perkara seterusnya, Perkara 93 juga menyebut bahawa Rancangan Pembangunan Negara adalah tertakluk kepada kuasa menerima Rancangan tersebut oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pembacaan Kanun Tanah 1965 mentafsirkan pemilikan tanah sebagai berikut:

State land means all land in the State (including so much of the bed of any river, and of the foreshore of the sea, as is within the territories of the State or the limits of territorial waters) other than:
(a) alienated land
(b) reserved land
(c) minimg land
(d) any land which, under the provision of any law relating to forests (whether passed before or after the commencement of this Act) is for the time being reserved forests. (National Land Code, Act 56 of 1965 & Regulation)

Oleh itu, Menteri Nazri Aziz telah tidak tepat dalam kenyataan beliau bahawa pembangunan lereng-lereng bukit adalah di bawah kuasa kerajaan negeri. Dalam konteks Bukit Antarabangsa yang diklasifikasikan sebagai kawasan tadah air, Ampang Intake, dalam Rancangan Fizikal Negara oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, 26 April 2005, ia berada di tahap tiga sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar yang perlu dilindungi dan kawal pembangunannya, hanya untuk pelancongan alam semula jadi dan eko serta kemudahan rekreasi penduduk bandar.

Persoalannya ialah siapakah yang telah meluluskan geran-geran tanah di Bukit Antarabangsa, kawasan tadah air itu?

Menurut sebahagian prosedurnya, sebarang permohonan untuk pemilikan tanah diajukan kepada Jabatan Sumber Asli dan Alam Sekitar. Setelah kelulusan diberi kepada permohonan tanah, pihak pegawai daerah akan memantau penggunaan dan syarat-syarat yang disebutkan agar ia dipenuhi oleh pemilik tanah. Apabila ditinjau, para penghuni di Bukit Antarabangsa tidak mengetahui bahawa mereka perlu menyelia, mengawal dan memelihara kawasan sekeliling mereka.

Pendedahan oleh bekas seorang pegawai daerah yang pernah terlibat secara langsung dalam pembangunan di kawasan Ampang dan Kuala Lumpur, Wan Mahmood Pawan Teh, bahawa pengabaian ketara sapek-aspek keselamatan dan panduan mengenai pembangunan di tempat-tempat berisiko tinggi seperti lereng-lereng bukit berlaku dengan berleluasa di negara ini. Kekurangan keupayaan bahagian kejuruteraan dalam Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan juga adalah ketara. Dengan sebab itu, banyak peraturan pembangunan yang selamat tidak diikuti. Menurut seorang jurutera awam yang telah bekerja di dalam dan di luar negara berpendapat bahawa dahulu sering berlaku pegawai yang memeriksa kerja-kerja pembinaan adalah dari kalangan yang berkelulusan SPM atau SRP sahaja. Itu berlaku apabila jurutera yang dipanggil tidak dapat hadir untuk menyelia projek kerana sesuatu sebab. Oleh itu, rasuah biasa berlaku apabila pegawai-pegawai yang tiada pengetahuan diminta menyelia dan mengesahkan kerja-kerja projek pembangunan.

Kebiasaannya di Malaysia apa yang diberi tumpuan ialah menghindar dari berlakunya pencemaran air hasil dari projek-projek yang dilaksanakan. Justru, langkah-langkah yang diambil menjurus kepada pemeliharaan dari pencemaran air di kawasan-kawasan pembangunan. Penyelidikan mengenai stuktur tanah, geo-technical study, jarang sekali atau tiada dilaksanakan. Sehingga kini belum ada suatu laporan yang sah dan lengkap mengenai struktur tanah di Semenanjung Malaysia bagi memastikan bahawa Pelan Pembangunan Negara adalah juga selaras dengan keperluan mengimbangi pembangunan dengan memelihara alam sekitar dan nyawa-nyawa manusia, rakyat Malaysia.

Siapakah yang bertanggungjawab membetulkan segala keadaan ini?

Dan kenapakah di kala Rakyat cemas dan gusar mengenai perkembangan di Bukit Antarabangsa yang belum ada kata putus keseluruhannya mengenai tempat tinggal dan masa depan mereka, Menteri Mohamed Nazri bin Abd Aziz tiba-tiba mengemukakan suatu lontaran yang cukup asing dari rasa hati Rakyat ketika ini – menggesa pewujudan sebuah Akta Kecemasan Bencana Negara dengan alasan bahawa pengarahan kerja ketika berlaku bencana di negeri-negeri yang perintah oleh Pakatan Rakyat akan menjadi kemas dan teratur dari yang telah berlaku sekarang ini.

Berbagai Akta dan Undang-Undang boleh saja diwujudkan. Tetapi yang mendokongnya ialah manusia sendiri. Tanpa undang-undangpun manusia boleh bekerjasama sekiranya boleh berlapang dada dan saling mengenepikan kepentingan masing-masing demi kepentingan Rakyat jelata.

Mohamed Nazri Abdul Aziz mungkin akan ditertawakan oleh mereka yang arif tentang undang-undang, bahawa tiada perselisihan dalam memahami pertanggungjawaban utama di kawasan-kawasan milik kerajaan persekutuan bahawa kerajaan persekutuanlah yang mempunyai kuasa dan tanggungjawab menyelesaikan segala permasalahan yang berbangkit, khususnya mengenai tanah runtuh di Bukit Antarabangsa .

Yang pasti ialah Akta Kecemasan Bencana Negara yang dicadangkan itu merupakan sesuatu yang membuang masa, dan tidak menambah nilai kepada usaha menyelesaikan permasalahan Rakyat yang sedang dalam kebimbangan dan kesusahan akibat dari bencana yang telah berlaku.

Begitulah lanskap politik negara di bawah kerajaan Umno-BN. Nilai-nilai kebersamaan, kerjasama dan politik tidak memilih bulu bukanlah menjadi trade mark mereka. Sikap sentiasa ingin mendominasi orang lain atau kumpulan lain sangatlah menebal, bahkan menjadi darah daging mereka. Natijahnya ialah Rakyat akan berterusan menempa kesusahan dan disembunyikan perkara yang sebenar dari pengetahuan mereka sepanjang waktu. Tidak ketinggalan juga, Malaysia ketika ini sedang mengalami krisis perundangan yang cukup membingungkan di mana pemilikan tanah-tanah di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia telah diluluskan oleh kerajaan-kerajaan negeri dahulu yang mengabaikan tuntutan perlembagaan yang jelas menyatakan bahawa kerajaan-kerajaan negeri tidak berhak untuk berbuat demikian. Siapakah pula yang akan membetulkan keadaan ini?

Abdullah Sani: Timbalan Menteri tidak menjawab soalan saya

Oleh Rozaini binti Mohd Rosli

Parlimen; ”Timbalan Menteri, tidak menjawab soalan saya”, kata Abdullah Sani bin Abdul Hamid [ Kuala Langat ] ketika mengajukan soalan di Parlimen berkenaan dengan tindakan-tindakan pihak Kementerian untuk memastikan pelabur-pelabur, khususnya di sektor perkilangan bertanggungjawab kepada pekerja sekiranya berlaku penamatan operasi kilang tersebut. Soalan beliau telah cuba dijawab oleh Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Sumber Manusia.

“ Soalan saya memohon agar diperjelaskan tindakan kerajaan bagi menghadapi tahun 2009 bilamana nanti banyak majikan yang akan gulung tikar dan pampasan kepada pekerja mungkin tidak dibayar. Timbalan Menteri hanya menerangkan penyelesaian di pihak pekerja…yang memberi peluang kepada mereka dari sudut meningkatkan pengetahuan teknikal…itu saja”, tambah beliau.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu menyifatkan kerajaan BN tidak mempunyai garis panduan yang konkrit untuk menjamin kebajikan dan kemaslahatan pekerja. Jika berterusan berlaku para pekerja yang diberhentikan tidak dibayar pampasan, ia boleh dianggap sebagai memperlekehkan Akta Pekerja 1955. Seksyen 60(j) Akta tersebut menetapkan hukuman bagi para majikan yang gagal membayar pampasan kepada pekerja mereka. Persoalannya ialah mengapakah penguatkuasaan terhadap undang-undang yang diperuntukkan itu tidak dikuatkuasakan?

Abdullah Sani Abd Hamid mendakwa bahawa kerajaan tidak mempunyai persiapan atau pelan tindakan bagi memelihara kebajikan dan kepentingan pekerja yang selama ini telah bertungkus lumus membangun dan memajukan negara Malaysia.

Adalah dijangkakan bahawa ratusan ribu pekerja akan menganggur kerana kilang-kilang akan menghadapi kemelesetan permintaan barangan dan produk hasil dari kemeruduman ekonomi sedunia. Dijangkakan juga bahawa puluh ribu pekerja dari sektor awam juga akan diberhentikan atau tidak akan diperbaharui kontrak pekerjaan mereka.

Pihak Kementerian perlu melihat suasana pengangguran mendatang ini dengan lebih serius. Beberapa cadangan kepada pihak Kementerian telah dikemukan dalam intipati perbahasan Ahli Parlimen Kuala Langat mengenai Bajet 2009 sebelum ini.

Beliau mencadangkan, sebagai langkah prudent pihak kerajaan, diwujudkan reserve sebanyak 10% daripada wang pelaburan asal sebagai jaminan untuk para pekerja. Jika berlaku majikan bersikap tidak bertanggungjawab, maka reserve tersebut boleh digunakan untuk membayar gaji dan pampasan pekerja.

Sewajarnya juga pihak kerajaan menggalakkan sejenis tabungan, Retrenchment Fund, yang mengandungi sumbangan pekerja-majikan-kerajaan dengan RM1 dari setiap pihak.

Dengan jumlah pekerja seramai 11.3 juta orang, RM3 sebulan boleh mengumpul sebanyak RM4 bilion dalam masa 10 tahun. Tentunya dana yang sedemikian boleh menbantu menjamin kebajikan para pekerja yang menghadapi kesukaran secara mendadak kerana gelagat majikan yang hanya mementingkan diri. Beliau menyatakan kehairanannya kenapa Kerajaan BN tidak berminat untuk membincangkan cadangan yang sedemikian.

Abdullah Sani, yang senantiasa kelihatan bersemangat mengetengahkan isu-isu mengenai kebajikan pekerja Malaysia, berpendapat bahawa kerajaan boleh melaksanakan yang lebih baik untuk pekerja-pekerja Malaysia yang telah berkorban dan memainkan peranan yang cukup besar dalam usaha menjayakan kesemua dasar dan program negara serta memacu pembangunan negara.

Parlimen Malaysia Parlimen Kelas Ketiga

oleh Rozaini Mohd Rosli

Parlimen; “Saya telah memohon Perdana Menteri untuk menjawab soalan saya mengenai pemilikan asset, ekuiti dan hartanah kerajaan Malaysia di luar negara. Saya telah memohon untuk dinyatakan secara terperinci senarai pemilikan tersebut, harga asalnya, harga pasarannya sekarang dan kaedah ia diperoleh sekiranya bukan menerusi pasaran terbuka. Saya juga memohon diperjelaskan mengenai tujuan dan alasan-alasan kenapa pelaburan-pelaburan tersebut wajar terus dipegang oleh kerajaan Malaysia.” ujar Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng selepas sesi soal jawap lisan di Dewan Rakyat. Beliau berkata bahawa kerajaan Malaysia mempunyai saham dan kepentingan dalam badan-badan korporat seperti TNB, Petronas, Telekom dan juga Matrade yang memiliki usaha niaga di luar negara. ”Saya bukan bertanya mengenai hartanah dan Wisma Putra. Dengan itu Menteri Luar Negeri tidak langsung menjawab soalan saya. Saya telah mengirim soalan kepada Setiausaha Dewan Rakyat untuk dijawap oleh Perdana Menteri bukan Menteri Luar Negeri,” penegasan oleh Lim Lip Eng.

Ahli Parlimen Segambut itu berkata bahawa sebahagian asset yang dimiliki oleh kerajaan Malaysia mungkin telah dibeli lebih 10 tahun dahulu. Apakah nilai pasaran asset-aset yang dimiliki itu dan apakah rasional terus memegangnya dalam keadaan kejatuhan nilai aset, saham dan hartanah yang menjunam di luar negara. “Saya tahu bahawa kerajaan Malaysia, menerusi pemilikan saham dalam badan korporat yang besar-besar, ada juga memiliki di luar negara aaset-aset yang bernilai tinggi seperti kapal-kapal, helikopter, lain-lain kenderaan, kediaman, bangunan komersial dan lain-lain lagi.”

Kata beliau lagi, siapakah pula jawatankuasa pemantau yang disebut oleh Menteri Luar, Syed Hamid Albar yang bertanggungjawab untuk memastikan segala asset kerajaan Malaysia di luar negara itu sentiasa dalam keadaan baik fizikal, ekonomi dan nilainya.

Dalam sesi yang sama, Ahli Parlimen Taiping pula telah telah membongkar bahawa sebanyak RM4.15 juta digunakan setiap tahun untuk menyelenggarakan kediaman-kediaman rasmi Perdana Menteri di luar negara, dan lebih RM2 juta adalah untuk kediaman Timbalan Perdana Menteri.

Jika dilihat soalan-soalan jawap lisan yang diutarakan oleh Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia membuktikan bahawa ia bukanlah Parlimen Kelas Pertama (world class parliament).

Sebenarnya, Ahli-Ahli Parlimen, khususnya BN sering bertanya soalan-soalan yang spesifik mengenai kawasan masing-masing yang menyentuh penyeliaan jalanraya, pembinaan sekolah, perumahan, dan lain-lain lagi. Lim Lip Eng berpendapat bahawa soalan-soalan sedemikian sewajarnya boleh dijawab hanya dengan Ahli-Ahli Parlimen menulis surat memohon penjelasan perkara yanag berbangkit kepada kementerian-kementerian yang terlibat. Kebiasaannya, lebih-lebih lagi bagi Ahli-Ahli Parlimen pembangkang, surat-surat sedemikian mengambil masa terlalu lama untuk dijawap atau tidak dijawab langsung. Mendapatkan maklumat dari kementerian-kementerian dan cawangan-cawangan mereka bukanlah suatu perkara yang mesra klien. Dengan sebab itu Ahli-Ahli parlimen terpaksa menggunakan saluran sesi soal jawap lisan bagi mendadpatkan sekurang-kurangnya sebahagian jawapan kepada persoalan-persoalan dari rakyat.

Kelihatannya, Lim Lip Eng terpaksalah menunggu peluang untuk mencelah dalam mana-mana sesi yang sesuai atau menunggu Mesyuarat ke-4 Dewan Rakyat untuk mendapat penjelasan lanjut mengenai soalan asal beliau.

Begitulah daifnya Parlimen Malaysia dalam penyebaran maklumat yang tepat kepada sekelian wakil-wakil rakyat dan rakyat sendiri.

Suatu reformasi yang menyeluruh mengenai mekanisme mendapdatkan maklumat yang tepat dan mudah oleh rakyat dan wakil-wakil rakyat perlu berlaku segera. Ia tentunya akan menyumbang kepada proses membuat keputusan yang lebih baik dan tepat, sesuai dengan hasrat memelihara kepentingan rakyat pada setiap masa dan tempat.

Halangan seperti OSA perlu dimansuhkan dan Kebebasan Mendapatkan Maklumat (Freeedom of Information) perlu diangkat sebagai satu undang-undang dan menjadi budaya di kalangan kakitangan kerajaan dan rakyat.

Perosak utama padi negara – Siput Gondang Emas (SGE)

Oleh: Rozaini binti Mohd Rosli

Parlimen: Ketika membahaskan Bajet 2009 di Peringkat Jawatankuasa, Ahmad bin Kasim (Kuala Kedah) telah membangkitkan isu yang boleh merencatkan usaha meningkatkan hasil padi negara.

Isu perosak padi yang kini menjadi semakin serius berpunca dari pembiakan Siput Gondang Emas (SGE) di sawah-swah seluruh negara. Menurut beliau siput ini mula diperkenalkan ke Taiwan di antara tahun 1979 dan 1981 untuk diternak sebagai satu jenis sumber makanan.  Dari Taiwan, SGE diperkenalkan ke Filipina untuk tujuan yang sama sekitar tahun 1983/84.  Sejak itu kehadirannya telah dilaporkan di  Jepun, China, Vietnam, Thailand, Indonesia dan Malaysia.

Siput gondang emas kuning yang

banyak terdapat di kawasan

MADA di Kedah dan KADA di Kelantan

Walaupun pelbagai kaedah kawalan di laksanakan namun sehingga kini ia masih menjadi ancaman utama kepada petani.

Siput gondang emas hitam banyak

terdapat di Perak.

Serangan SGE yang berulang setiap musim penanaman dan kawasan serangan semakin merebak dan menyulitkan para petani.  Satu pendekatan yang lebih menyeluruh mesti diambil bagi mengawal serangan dan mengekang perebakan SGE.

Beliau telah memohon Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Mustapa Mohamed, untuk memberikan penjelasan apakah langkah-langkah yang telah diambil bagi memastikan kawalan terhadap ancaman musuh siput gondang emas ini agar dapat diatasi.

Mustapa Mohamed telah mengakui bahawa masalah yang ditimbulkan oleh SGE kepada para petani adalah antara yang paling serius.

Menteri menyebut bahwa ketika ini cara mengawal kerosakan oleh siput gondang emas ialah menerusi amalan kultura dengan mengawal paras air sawah dalam lingkungan rendah supaya siput tidak boleh membiak, dengan kaedah biologi, iaitu melepaskan itik ke sawah, dan dengan cara kimia; penggunakan racun. Menteri telah melaporkan bahawa setakat ini keadaan kerosakan oleh SGE adalah dalam situasi bertahan, tidak merebak dan tidak berkurangan.

Ahmad Kassim, Ahli Parlimen Kuala Kedah itu, telah menggesa pihak kementerian untuk membekalkan racun yang berkualiti dengan kadar harga yang telah disubsidikan serta mengkaji dan mengambil langkah menyeluruh bagi menyelesaikan masalah SGE perosak yang boleh merencatkan sasaran peningkatan pengeluaran padi seluruh negara. “Jika isu SGE ini tidak ditangani dengan lebih aggresif dan segera, ia mungkin akan merebak dan mengancam dengan lebih parah pengeluaran hasil padi negara.” ujar Ahmad Kassim, yang dulu pernah bertugas di Unit Kawalan Tanaman, MADA (Muda Agricultural Development Authority), Kedah.

Rashid bin Din (Merbok), Soalan Jawab lisan No. 4, 20 November, 2008

Oleh : Rozaini binti Mohd Rosli

PARLIMEN Merbok mempunyai dua Dun, Tanjung Dawai(PAS) and Bukit Selambau (KeADILan). Ahli Parlimen Merbok, Rashid bin Din(KeADILan) telah mengutarakan soalan untuk dijawab oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai kawasan yang terbengkalai dari arus pembangunan di kawasan Merbok. Walau bagaimanapun Menteri Kewangan menerusi Timbalan Menterinya pula yang diarah untuk menjawab soalan yang dikemukakan. Perubahan sedemikian adakalanya berlaku dalam sesi soal jawab lisan dalam Dewan Rakyat tanpa pengetahuan terlebih dahulu oleh Ahli-Ahli Parlimen.

Timbalan Menteri Kewangan, Kong Cho Ha, menjelaskan perkara yang sudah diketahui umum bahawa bagi membangunkan kawasan perumahan, kawasan yang terbiar perlu dikenalpasti dahulu bagi tujuan projek-projek pembangunan. Di samping itu, bantuan perlulah dipohon oleh para pemohon bantuan yang kebanyakan mereka adalah nelayan dan pekerja estet yang memerlukan bantuan untuk meningkatkan kediaman mereka kepada yang sesuai untuk didiami dengan selesa. Menurut Rashid bin Din, rakyat memerlukan tindakan yang segera untuk membantu mereka, bukan ucapan-ucapan balas untuk menyempurnakan jawapan-jawapan kepada persoalan yang diutarakan di Dewan rakyat. Rakyat di Merbok, khususnya di Pekan Tanjung Dawai, telah menantikan pembangunan terancang berdekad-dekad lamanya.

Masalah di Parlimen Merbok melibatkan kawasan-kawasan di mana para nelayan dan pekerja estet tinggal di beberpa tompokan kawasan milik persendirian. Pemilikan persendirian sedemikian menghalang pengambilan seluruh kawasan tersebut bagi tujuan pembangunan. Oleh yang demikian, beberapa kawasan Merbok terpinggir dari program-program pembangunan lebih setengah abad lamanya. Rashid bin Din telah mencadangkan campurtangan pihak berkuasa dengan cara yang hikmah bagi memacu pembangunan di Merbok. Wajarlah dalam Bajet 2009 ini kerajaan mempamerkan minat dan kesungguhan untuk menjadikan projek-projek yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di Parlimen Merbok sebagai benar-benar mesra rakyat, bukan hanya janji dan penerangan semata-mata.

Mohsin Fadzli (Bagan Serai) Soalan No. 31, 17 November 2008.

Jawapan sambil lewa

Parlimen; Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli bin Samsuri, telah mengemukakan soalan kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, memohon dinyatakan senarai dan tugas-tugas secara terperinci peranan Ketua-Ketua Kampiung yang dilantik oleh Kerajaan Pusat melalui JKKKP (Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung Persekutuan).

Berikut adalah jawapan Menteri yang dibuat secara bertulis:

Untuk makluman Yang Berhormat, matlamat penubuhan JKKP bukan bertujuan untuk melaksana aktiviti pengawasan kampung, sebaliknya lebih tertumpu untuk membantu Jabatan dan Agensi-Agensi Kerajaan Persekutuan melaksanakan tugas yang berkaitan projek-projek pembangunan di peringkat kampung dengan lebih berkesan yang meliputi program-program pembangunan modal insan, infrastruktur, ekonomi dan pembasmian kemiskinan.

”Saya menjangkakan Menteri akan memberi suatu jawapan yang menyeluruh, jauh lebih banyak butiran dari yang telah diberi sebagai jawapan kepada soalan saya. Jawapan sedemikian tidak melambangkan kesungguhan Menteri untuk memberi maklum balas yang bermakna untuk Ahli-Ahli Parlimen, apatah lagi untuk pengetahuan rakyat,” kata Mohsin Fadzli bin Samsuri ketika ditemui oleh wartawan Suara KeADILan.

”Apakah peruntukan RM23 juta yang diagihkan kepada JKKK yang melibatkan pengurusan dan projek-projek rakyat seluruh Malaysia telah dibuat kajian atau feasibility study bagi menjamin keperluan sebenar dan penjimatan dalam perbelanjaan pengurusan dan projek-projek? Adakah wujud KPI (Key Performance Indicator) bagi setiap projek yang telah lulus dan dilaksanakan?” ujar Ahli Parlimen Bagan Serai itu lagi.

Menurut beliau, ada projek-projek saliran yang tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. Pengawasan (maintenance) bagi memastikan pengairan dan saliran adalah lancar di sawah-sawah padi juga tidak diutamakan.

Rakyat petani di Bagan Serai telah mengadu bahawa kontraktor di kawasan Parlimen tersebut tidak melaksanakan perjanjian kontrak membersihkan saliran-saliran air di sawah-sawah padi sehingga saliran menjadi cetek dan tidak cukup tadahan air untuk menampung dengan sempurna keperluan sawah padi. Situasi sedemikian itu telah menjejaskan hasil tanaman padi dan tidak mengeluarkan jumlah padi yang disasarkan.

PENCEMARAN AIR DARI PULAU BURUNG

Parlimen, 4 November; Pencemaran air di Pulau Burung telah ditimbulkan oleh Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dalam sesi soal jawap lisan pagi tadi.   Beliau telah memberitahu Dewan Rakyat bahawa satu sampel air dari sungai dan kolam air di Pulau Burung telah diambil dan dibuat penyelidikan di makmal dan mendapati bahawa bacaan COD (Chemical Oxygen Demand) kedua-dua sampel tersebut jauh melewati batas yang dianggap selamat, iaitu 100 COD.   Bacaan yang didapati dari sampel air sungai melebihi 400 COD dan dari kolam ikan melebihi 1000 COD.

COD ialah ukuran yang biasa digunakan bagi mengukur kualiti air.

Timbalan Menteri, Senator Maznah Mazlan, dalam jawapan beliau menafikan telah berlakunya pencemaran air di Pulau Burung, oleh itu tidak wujud soal pampasan kepada penduduk.   Beliau menegaskan bahawa segala langkah-langkah perlu telah diambil bagi memastikan bahawa air di kawasan tersebut tidak tercemar dan selamat digunakan.

Tan Tee Beng, ketika diwawancara di luar Dewan Rakyat, telah menyatakan bahawa penyelidikan beliau menolak samasekali kenyataan bahawa pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah melakukan segala apa yang wajar dan pencemaran air dari Pulau Burung, Pulau Pinang tidak wujud.

Beliau menjelaskan bahawa telah berlaku kematian ratusan ikan dan haiwan laut berhampiran dengan pusat pembuangan bahan toksik dan sisa bahan bahaya di Pulau Burung kerana telah berlaku pencemaran air di situ.   Di pantai berhampiran, wujud Sg Udang di mana terdapatnya para nelayan yang menternak udang akan juga menghadapi risiko kerugian udang-udang mati kerana pencemaran air laut dan sungai di situ.

Dalam satu kes mengenai kemalangan yang melibatkan seorang pemandu lori telah tercampak ke dalam sungai berdekatan kawasan tersebut.  Luka beliau tidak sembuh selama dua tahun dan hampir kaki beliau dibedah buang kerana kesan air tercemar yang pekat dengan bahan toksik terkena kaki beliau ketika kemalangan tersebut.   Doktor yang merawat beliau mengesahkan bahawa kesan air toksik yang terkena kaki beliau membuatkan luka tidak dapat sembuh dengan segera.   Majikannya telah membantu membayar kos rawatan selama dua tahun agar kaki beliau tidak dibedah buang.

Tan Tee Beng mendakwa bahawa pembinaan pusat pembuangan toksik di Pulau Burung tidak menepati spesifikasi sebagai sebuah pusat pembuangan bahan toksik dan sisa bahan bahaya.   Ia hanya sebuah lobang besar yang digali tanpa pembinaan lantai dan dinding konkrit atau simen yang sempurna bagi menahan bahan toksik meresap ke dalam tanah atau mengalir keluar ketika hujan berlaku dan mengikut aliran sungai yang berhampiran.

Lambat-laun pencemaran air akan mengesani kualiti air ke rumah-rumah kediaman di Pulau Pinang, khususnya, tambah beliau.

Tan Tee Beng menegaskan bahwa tujuan beliau menimbulkan isu pencemaran air ini ialah kerana beliau berharap agar Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dapat melakukan dengan bersungguh-sungguh dan memastikan bahawa pencemaran air dan lain-lain keperluan asli rakyat tidak tercemar dan selamat digunakan sentiasa.   Generasi kini bertanggungjawab sepenuhnya dalam mencorak alam sekitar di Malaysia agar selamat digunakan oleh generasi mendatang, tegas beliau lagi.

Rakyat nelayan

Oleh Rozaini Mohd Rosli

Parlimen, 12 November; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hasan Malek (Kuala Pilah) telah spontan menafikan bila aduan mengenai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang kurang meronda di musim tengkujuh di Perairan Pantai Timur dikemukakan oleh Ahli Parlimen Ketereh, Ab Aziz bin Ab Kadir semasa sesi soal jawab lisan di Parlimen pagi tadi. Beliau mengemukakan penjelasan bahawa pihak berkuasa tersebut berperanan sepanjang masa berperanan menguatkuasakan undang-undang menjaga keselamatan seluruh perairan Malaysia termasuk perairan yg bersempadan dengan Thailand.

Apabila ditemui selepas sesi soal jawap lisan, Ab Aziz bin Ab Kadir menyebut bahawa Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia memiliki bot-bot peronda yang tidak canggih dan tidak menepati keperluan semasa tugasan yang perlu dilaksanakan sehingga tidak beupaya keluar ke laut ketika musim tengkujuh. Oleh itu, kejadian-kejadian pencerobohan, perlanggaran bot pukat, khususnya milik asing, ke atas bot-bot nelayan yang lebih kecil tidak dapat dikesan dan kejadian-kejadian jenayah seumpama itu terlepas dari perhatian dan dakwaan pihak berkuasa maritim. Ahli Parlimen Ketereh itu turut mendakwa bahawa bot-bot peronda Agensi kadangkala lebih kecil dan tidak dapat menyaingi bot-bot pukat tunda yang lebih baik kuasa dan peralatannya.

Beliau menggesa agar Menteri dan Timbalan Menteri turun padang untuk mengetahui keadaan Rakyat nelayan, khususnya di Ketereh, mengenai masalah yang sering melanda mereka ketika musim tengkujuh tiba, lazimnya dalam bulan November dan Disember. Kementerian wajar untuk menerima kenyataan bahawa bot-bot penguatkuasa adalah daif dan perlu ditingkatkan keupayaannya agar sentiasa boleh memantau perairan di Malaysia walaupun ketika musim tengkujuh dan cuaca kurang baik agar keselamatan para nelayan yang saban hari diselubungi risiko maut terpelihara dan terjamin.

Leave a comment

Blog Stats

  • 6,748 hits
May 2024
M T W T F S S
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031