Justice For All Malaysia

Palimen Sekarang ini : Nazri membentangkan RUU Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008

Posted on: December 15, 2008

RUU dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri bin Abdul Aziz.

Di awal ucapan beliau menyebut:

…bahawa…rasuah…adalah hamba kepada nafsu…

RUU melebarkan skop kesalahan dalam pentafsiran baru oleh RUU ini.

Pentafsiran “saudara” – merangkumi orang yg mempunyai nasab langsung… seperti isteri atau atau anak…

…bapa saudara, mak saudara atau menantu orang itu…

———————————————————————————————-

RRU Suruhanajaya Pencegahan Rasuah 2008

———————————————————————————————-

Ucapan Ketua Pambangkang, Anwar Ibrahim, mengenai Rang Undang-Undang tersebut:

RANG UNDANG-UNDANG SURUHANJAYA PENCEGAH RASUAH MALAYSIA

1. Saya ingin memetik beberapa tajuk berita berkaitan dengan rasuah:

Berita Harian – Jul 28 2007 PUTRAJAYA: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengarahkan siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap dakwaan kononnya Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, menerima rasuah RM2 juta bagi membebaskan tiga tahanan Ordinan Darurat, ditutup.

Utusan Online – Jul 28 2007 PUTRAJAYA 27 Julai – Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengarahkan siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Zulkifli Mat Noor ditutup.

Utusan Online – Jul 12 2007 PUTRAJAYA 11 Julai – Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengarahkan siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd. Johari Baharum ditutup.

2. Daripada kenyataan2 ini jelas menunjukkan kuasa yang ada pada Peguam Negara begitu besar yang boleh memutuskan samaada sesuatu kes boleh didakwa atau ditutup. Tidak ada satu badan lain yang bebas bagi menentukan atau mengkaji semula samaada kes-kes sebegini disiasat dengan teliti dan menyeluruh atau ada kolusi diantara mereka untuk menutup kes-kes sebegini kerana yang terlibat adalah Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah BPR dan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

3. Yang melaporkan kegiatan rasuah mereka bukan orang luar tetapi pegawai-pegawai tinggi dalam kerajaan. Kes Ketua Polis Negara dilaporkan oleh pegawai berpangkat tinggi dalam Polis. Begitu juga dengan kes bekas Ketua Pengarah BPR dilaporkan oleh pegawai BPR sendiri Encik Mohamad Ramli Manan kepada bekas Ketua Polis Negara waktu itu Tan Sri Mohd Bakri Omar!!! Dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri diketahui umum membebaskan penjenayah yang paling dikehendaki polis (gangster dan along).

4. Pada 2004 Menteri Luar sekarang ini YB Rais Yatim pernah menyatakan ada 18 kes berprofil tinggi masih belum diambil tindakan membuktikan ada campurtangan politik atau kolusi diantara pejabat Peguam Negara, BPR dan Polis untuk menutup atau mengambil tindakan dalam sesuatu kes.

5. Saya ada senarai kegiatan-kegiatan rasuah dan salahguna kuasa yang dilakukan oleh mereka-mereka berprofil tinggi yang belum diambil tindakan. Diantaranya: Lihat lampiran (Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Tun Dr Mahathir, Tun Daim Zainuddin, Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah, Ketua Menteri Melaka, Bekas Pengarah BPR, Rafidah Aziz, Bekas Pengarah EPU, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Rahim Tamby Chik, Bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo, Azalina Othman Said, Khalil Yaakob, Bekas Ketua Hakim, Yusof Chin dan seterusnya).

6. Saya ada sebab meragui siasatan-siasatan yang dilakukan baik oleh polis atau BPR. Pelbagai laporan polis dan BPR telah dibuat oleh pelbagai pihak tetapi setakat ini belum ada tindakan diambil berbanding dengan beberapa kes yang melibatkan ahli pembangkang seperti kes bekas YB Kota Bahru (yang dibebaskan oleh mahkamah kerana didapati tidak bersalah), YB Jeli (masih dalam perbicaraan dalam keadaan BPR masih mengumpul bukti) dan baru-baru ini kes di Perak yang mana tindakan begitu pantas diambil. Ini membuktikan bahawa Polis, BPR dan Peguam Negara berpilih-pilih dalam mengambil tindakan dan pendakwaan.

7. Apatah lagi dalam beberapa kes bahan bukti boleh hilang sepertimana yang berlaku di Johor Bahru dimana syabu bernilai RM1 juta dalam simpanan bilik kebal Ibu Pejabat Kontijen Polis Johor hilang!!! Kalau di Jepun mungkin Ketua Polis nya akan melaksanakan Hara-Kiri kerana ini amat memalukan pasukan polis.

8. Dari pengalaman peribadi saya semasa sisatan Suruhanjaya Siasatan Mata Lebam didapati Ketua Polis Negara bersama Peguam Negara sekarang merekacipta dan memalsukan bukti untuk menutup apa yang sedang berlaku keatas diri saya semasa dalam tahanan polis di Bukit Aman. Ugutan dan tekanan dibuat untuk memaksa beberapa pihak membuat pengakuan palsu terhadap saya.

9. Jadi bagaimana kita boleh yakin segala laporan Polis dan BPR disiasat dengan adil dan menyeluruh sedangkan Ketua-ketua mereka sendiri terlibat dalam rasuah, pemalsuan bukti dan berkepentingan diri.

10. Walaupun sedang disiasat diatas penglibatan memalsu keterangan dalam kes saya dan dinasihat oleh YAB Perdana Menteri sendiri supaya tidak terlibat dalam pendakwaan terbaru keatas saya tetapi Peguam Negara terus berdegil dan terlibat secara langsung untuk memindahkan kes saya ke Mahkamah Tinggi. Adakah beliau mempunyai agenda peribadi atau menuruti arahan pihak-pihak tertentu menyebabkan saya sangsi diatas kuasa yang diamanahkan kepada Peguam Negara untuk menentukan samaada sesuatu kes rasuah akan didakwa atau ditutup.

11. Kuasa Peguam Negara terlalu besar sepertimana yang dinyatakan oleh Peguam veteran Raja Aziz Addruse.

· “It is imperative that the Attorney General’s wide powers be subject to close scrutiny and not be permitted to be exercised arbitrarily. If the government is truly serious in wanting to improve and restore public confidence in the administration of justice in this country, it must be prepared to review the presently unfettered powers of the Attorney-General. There is currently no formal mechanism requiring the Attorney-General to account for his conduct in relation to prosecutions of criminal proceedings. In spite of the wide powers he wields, he has no duty to report to the prime minister, cabinet or Parliament. There has been no call for him to account for the failure of a number of high-profile prosecutions, which commenced with much fanfare but ended up being a waste of funds.”

12. Perlu ada usaha untuk menghadkan kuasa Peguam Negara kerana beliau bertindak sebagai Ketua Penasihat Undang-undang Negara dan juga Ketua Pendakwa Raya. Kedua-dua peranan ini membuka ruang kepada situasi pertelingkahan kepentingan seperti mana yang berlaku dalam kes saya. Walaubagaimanapun saya difahamkan usaha untuk menghadkan kuasa Peguam Negara ditentang oleh beberapa Menteri Kabinet dan Peguam Negara sendiri sepertimana yang diluahkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim.

13. Saya mengalu-alukan pembentangan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia ini atau “Malaysian Commision on Anti Corruption Act” bagi mengganti Akta Pencegah Rasuah 1997.

14. Saya harap rang undang-undang ini diluluskan bukan setakat Dewan Rakyat tetapi juga Dewan Negara. Saya mempunyai pengalaman pahit dalam usaha memerangi rasuah apabila membentang Rang Undang-undang Pencegah Rasuah 1997 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat tetapi sehingga kini masih belum diluluskan oleh Dewan Negara. Saya harap kali ini tidak berlaku lagi.

15. Saya tertarik dengan kenyataan YAB Perdana Menteri yang tersiar di muka depan akhbar The New Straits Time bertarikh 11 Disember 2008..

“The Anti Corruption Agency and the Judiciary have been the targets of negative perception. Many people think the Government is not committed to tackling corruption, while investors are suspicious of the integrity of the judiciary”

16. Ingin saya nyatakan masaalah rasuah dan integriti system kehakiman bukan masaalah persepsi. Ia masaalah sebenar. “The problem is real”. Ia perlu diperangi habis-habisan. Masaalah ini sudah menjadi barah. Ia bermula dari dalam parti memerintah UMNO dan BN yang pemilihan kepimpinannya dibuat dengan cara rasuah dan kemenangan mereka dalam parti dan pilihanraya melalui pembelian undi, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

17. Penyakit ini berjangkit dalam kerajaan kerana di perintah oleh perasuah dan diikuti oleh kakitangan kerajaan termasuk hakim-hakim sepertimana terbukti dalam kes video Lingam. Penguatkuasa undang-undang juga tidak kurang hebatnya dalam kegiatan rasuah sepertimana yang terdedah dalam lampiran yang ada dengan saya termasuk Ketua Polis Negara.

18. Saya harap pembentangan rang undang-undang ini bukan sekadar untuk meredakan persepsi negatif orang ramai atau pelabur tetapi sebagai usaha murni kearah membentaras rasuah habis-habisan dari peringkat tertinggi kerajaan hinggalah ke akar umbi masyarakat.

19. Kita menentang rasuah kerana tidak mahu

I. Wang Negara dibazirkan melalui penyelewengan dalam penganugerahan kontrak, konsesi dan pembelian yang tidak mengikut prosedur dan tatacara yang betul seperti tender tertutup, rundingan secara terus dan sebagainya. (Kalau mengikut kes-kes yang telah dilaporkan puluhan billion wang rakyat telah diselewengkan. Bayangkan sekiranya wang-wang ini digunakan untuk program pembasmian kemiskinan. Kita akan dapat menyelesai masaalah penyediaan rumah untuk rakyat miskin, polis dan tentera dengan begitu banyak. Kita boleh sediakan biasiswa untuk anak-anak miskin dan cemerlang dengan begitu ramai. Kita dapat menyediakan kemudahan kebajikan kepada warga emas dan kurang upaya agar tidak terpinggir dalam arus pembangunan Negara dan sebagainya. Sebagai contoh dalam kes pembelian kapalselam scorpene dan jet pejuang sukhoi sahaja kerajaan membayar komisyen sebanyak lebih RM900 juta. Bayangkan berapa banyak biasiswa yang boleh disediakan dengan wang ini sekiranya tiada rasuah berlaku dalam pembelian ini.

II. Kos urus niaga meningkat kerana terpaksa memberi rasuah kepada pihak berkuasa dalam urusan perniagaan mereka. Akibatnya rakyat terpaksa membayar harga yang tinggi untuk mengambil kira kos rasuah yang terpaksa dibayar oleh peniaga. Sebagai contoh rakyat terpaksa membayar harga letrik yang tinggi kerana menanggong kos dalam penyelewengan penganugerahan IPP kepada pihak-pihak tertentu dengan terma-terma kontrak yang meragukan dan amat menguntungkan IPP sedangkan Tenaga Nasional menanggung kerugian dan rakyat terpaksa membayar harga letrik yang tinggi.

III. Keselamatan awam dikompromi kerana bangunan dan barangan yang sub-standard dan tidak memenuhi piawai keselamatan diluluskan melalui rasuah. Lihat apa yang terjadi dalam kes tanah runtuh Bukit Mewah. Puluhan projek diluluskan diatas lerang bukit yang berbahaya kerana penguasa dirasuah untuk meluluskan pembangunannya. Begitu juga dengan perumahan-perumahan untuk rakyat miskin, Pasukan Polis dan Angkatan Tentera yang begitu banyak tidak bermutu dan selamat diduduki dibina angkara rasuah oleh pemaju kepada pihak berkuasa.

IV. Keselamatan Negara terdedah kepada risiko kerana pembelian peralatan ketenteraan dan keselamatan dibuat secara mencurigakan. Begitu banyak pembaziran yang berlaku dalam pembelian peralatan ketenteraan dan keselamatan. Sebagai contoh pembelian sky hawk yang tidak boleh dipakai, kereta kebal yang tidak sesuai dengan persekitaran tanah dan hutan Negara, pembinaan kapal peronda di Lumut Dockyard yang sehingga kini belum selesai, helicopter yang meragut ramai nyawa angkatan tentera dan sebagainya. Begitu juga dengan peralatan keselamatan yang mana YB Ipoh Timur telah mendedahkan bagaimana Ketua Polis Negara bertindak sebagai jurujual Syarikat Asiacopter Sdn Bhd. Begitu juga dengan peralatan dan perisian computer untuk Pasukan Polis dimana pembekalnya dikaitkan dengan bekas pegawai tentera Israel dan syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan dengan kerajaan Singapura dan banyak lagi yang akan didedahkan oleh MP-MP lain.

V. Yang paling utama bagi memastikan negara di tadbir dengan baik mengikut lunas undang-undang. “Good Governance and Rule of Law”. Rasuah menyebabkan ramai pemimpin hilang kewarasan. Kerana ingin menutup kesalahan mereka maka undang-undang dan penguatkuasa undang-undang diperkudakan seperti apa yang berlaku dalam Negara sekarang ini. Yang melapor dianiaya atau dipenjarakan dan yang dituduh terus bermaharajalela.

20. Pada asasnya rasional perubahan ini bagi memasti:

a. SPRM bebas dan tidak lagi bertanggongjawab kepada PM tetapi kepada Parlimen

b. Kuasa Pegawai Pendakwa bebas dari Peguam Negara

c. Ada timbal balas atau “Check and balance” dengan perlantikan 5 Jawatankuasa Menyelia.

A. Jawatankuasa Penasihat Pencegah Rasuah- Menasihat dan mengawal kegiatan SPRM seramai 7 orang yang diketuai oleh seorang Hakim bersara

B. Jawatankuasa Khas (Parlimen) keatas SPRM – terdiri dari 7 Ahli Parlimen yang dilantik oleh YDP Agong. Boleh menyoal dan menerang laporan tahunan yang dibentang dalam Parlimen. Bertindak sebagai Penasihat kepada PM.

C. Jawatankuasa Aduan Bebas SRPM – Meneliti sungutan keatas proses siasatan dan tingkah laku pegawai penyiasat, mangsa kepada fitnah dan tuduhan palsu pengadu.

D. Panel Kajian Operasi – melihat kertas siasatan dan menyelidik pertentangan keputusan diantara SRPM dan Pegawai Pendakwa.

E. Panel Nasihat Pencegahan Rasuah – melihat kepada usaha mempertingkatkan amalan terbaik bagi mencegah rasuah dan penyelewengan

21.Secara umumnya pembentangan rang undang-undang ini kelihatan dapat menangani kelemahan sekarang dan meredakan sungutan masyarakat keatas keberkesanan dan kebebasan BPR. Masyarakat umum beranggapan BPR dicampurtangan oleh kuasa politik dan tidak bebas mendakwa.

22.Walaubagaimanapun sekiranya perlantikan Suruhanjaya masih atas nasihat PM kepada Agong maka masyarakat akan terus beranggapan ahli Suruhanjaya terikat kepada pemimpin politik. Maka saya cadangkan Suruhanjaya dilantik oleh Jawatankuasa Khas (Parlimen) atas SPRM bagi memasti calon paling layak dilantik bukan sahaja dari segi teknikal tetapi juga bersih dari tuduhan dan celaan.

23. Oleh kerana begitu ramai kakitangan SPRM akan dilantik (dianggarkan berjumlah 5000 orang) maka saya cadangkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM ditubuhkan sepertimana Suruhanjaya Perkhidmatan Polis. Suruhanjaya ini bertanggongjawab dalam melantik, menaikkan pangkat dan mengambil tindakan tatatertib keatas kakitangan SPRM dan disokong oleh Jawatankuasa Aduan SPRM. Jumlah aduan dan kes yang dapat diselesaikan menjadi salah satu kayu pengukur dalam penilaian perkhidmatan kakitangan SPRM. Ini bagi memasti kakitangan SPRM bebas dari Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan lainnya.

24.Adakah kuasa pendakwaan SPRM akan benar-benar bebas sekiranya Pegawai Pendakwaraya dipinjamkan atau dibantu oleh peguam dari Jabatan Peguam Negara? Ini kerana penilaian perkhidmatan mereka akan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara. Maka sudah tentulah ketaatan mereka akan berpihak kepada Jabatan Peguam Negara. Perkara ini tidak timbul sekiranya Peguam Negara berkredible dan bebas dari pengaruh politik. Dari pengalaman lepas Peguam Negara sekarang tidak mempunyai quality ini. Sudah sampai masanya kerajaan mengasingkan peranan Pendakwaraya dari Jabatan Peguam Negara.

25.Pastikan mereka yang dilantik mengetuai beberapa Jawatankuasa tidak terikat kepada kuasa politik tetapi hanya kepada Parlimen.

26. Adakah peruntukkan untuk melindung pengadu dan saksi-saksi mencukupi dalam Rang Undang-undang ini termasuk juga gantirugi sekiranya mereka teraniaya seperti pembuangan kerja, kehilangan peluang perniagaan dan sebagainya.

27.Adakah kepimpinan dan kakitangan BPR sekarang dapat memenuhi cabaran baru dan harapan rakyat sekarang? Adakah mereka bersedia menjalankan tugas baru? Adakah mereka benar-benar terlatih bukan sahaja dari segi perundangan dan operasi tetapi juga minda dan nilai baru? Lihat saja apa yang terjadi sekarang. Pelbagai laporan dan kes tidak terselesai. Sekiranya orang yang sama mendokongi SPRM maka ia tidak akan kemana (Call a rose by any other name, it still smells the same)

28. Kenapa BPR berkesan, ditakuti dan digeruni pada awal penubuhannya walaupun mempunyai kakitangan yang kecil jumlahnya? Ini kerana integriti pemimpinan BPR waktu itu dibawah Tun Dr Ismail dan di ketuai oleh bekas Ketua Hakim Allahyarham Tan Sri Harun Hashim sebagai Ketua Pengarah. Jadi pemilihan ketua dan kakitangan SPRM terdiri dari kalangan mereka yang benar-benar caliber dan berintegriti.

29. Usaha memerangi rasuah tidak akan tercapai dengan hanya menumpu kepada hukuman keatas perasuah melalui undang-undang kerana rasuah sudah menular kedalam semua sector baik kerajaan, swasta maupun parti-parti politik terutamanya UMNO. Perubahan secara menyeluruh perlu dilaksanakan.

30.Setelah SPRM selesai menyiasat sesuatu kes tidak tentu lagi hukuman atau undang-undang terlaksana sekiranya institusi lain (Peguam Negara dan Kehakiman) tidak mendukung undang-undang dan keadilan. Lihat sahaja kes Video Lingam, apa tindakan diambil walaupun Suruhanjaya Siasatan kes ini mendapati kebenaran Video tersebut. Saya harap dalam Rang Undang-undang Perlantikan Ketua Hakim yang akan dibentangkan nanti kepincangan sebegini dapat diatasi.

31.Kerajaan perlu merobah system pengiriman atau “Delivery System” pada semua peringkat jabatan kerajaan terutamanya yang berhubungan dengan sektor swasta dan orang awam. Siapa mahu merasuah sekiranya tidak ada kelewatan atau halangan dalam urusan mendapat kelulusan perniagaan mereka. PEMUDAH sedikit sebanyak menunjukkan keberkesanannya dan perlu dilaksana pada peringkat Negeri dan daerah.

32. Perlu ada kayu ukur untuk menentukan samaada pelaksanaan rang undang-undang ini berkesan atau tidak dalam membenteras rasuah. Pada 2005 Malaysia menduduki tempat ke 39 dalam senarai ranking International Transparency dan jatuh ke tangga 44 pada 2006 dan naik sedikit pada tahun 2007 ke tangga 43 dengan mencatat persepsi index 5.1 tetapi merudum semula ketangga 47 pada 2008. Kerajaan perlu meletak sasaran untuk menduduki pada tangga bawah pada 30 dengan persepsi index 6.5 keatas dalam masa 2-5 tahun. Dalam masa 10 tahun Negara mesti mencapai sasaran persepsi index 8.5 dengan menduduki ranking 20 kebawah. Ini dapat dicapai melihat kepada kejayaan Hong Kong mencapai persepsi index 8.5 dan menduduki pada tangga ke 15.

33. Media memain peranan penting dalam usaha memerangi rasuah. Kerajaan perlu menggantikan Akta Rahsia Rasmi dengan Akta Kebebasan Maklumat bagi memasti maklumat berkepentingan awam dapat diperolehi dan dalam masa yang sama melindungi kerahsiaan perkara berpentingan Negara dan keselamatan. Media telah melonglaikan masyarakat sehingga rasuah sudah menjadi barah dalam masyarakat yang perlu diperangi habis-habisan.

34. Membasmi rasuah mesti menjadikan agenda utama Negara dan mesti disokong oleh semua lapisan masyarakat dari pemimpin tertinggi Negara hinggalah kepada rakyat bawahan. Pemimpin yang rasuah dan diangkat melalui rasuah perlu disisihkan. Parti politik yang mengamalkan rasuah dalam pemilihan dan pilihanraya mesti dijatuhkan.

2 Responses to "Palimen Sekarang ini : Nazri membentangkan RUU Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2008"

Tango – Pang runs a Home Improvement Consultancy business.
Home improvement will become increasingly needed for householders if
they’re thinking about selling their apartment in future.
Try to approach projects with baby steps while keeping your mind open to new ideas.

How do I start my own personal website and how much does it cost?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: