Justice For All Malaysia

Archive for the ‘Pakatan Rakyat’ Category

Proses penerusan pimpinan Dewan Undangan negeri Perak perlu mengikut lunas-lunas perlembagaan dan undang-undang untuk menjadi kerajaan negeri yang sah.

Speaker Dun Perak juga telah memfailkan di mahkamah pagi tadi usul dengan bukti surat perletakkan jawatan tiga Adun Perak –  Behrang, Cangkat Jering, dan Jelapang.   Dengan itu, tidak timbul isu bahawa BN mempunyai majoriti dalam Dun Perak ataupakatan Rakyat kehilangan majoriti Dun Perak.

Di saat ini, PR=28 kerusi    BN=28 kerusi  dan bebas=3 kerusi

Tuanku dan ramai yang terlibat dalam kemelut politik Perak ini mengetahui dan amat arif tentang keperluan undang-undang dengan begitu teliti sekali.   kemelut itu harus ditangani dengan bijak dan teliti juga agar tidak di sumpah oleh rakyat jelata.

Undang-undang pembubaran Dun dan peralihan kuasa juga adalah jelas.

Umno tidak perlu bersikap seperti perampas kuasa yang tidak pernah terdidik atau dididik oleh dunia dan agama; mengepung pejabat dan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri dan menghalang MB Nizar serta kakitangan lain untuk memasuki pejabat, tanpa peraturan dan prosedur dan dokumen-dokumen rasmi.

Begitu angkuhnya Umno sehingga mengarah Setiausaha Kerajaan Negeri menghambur kata-kata kepada MB Nizar bahawa kini beliaulah (Setiausaha Kerajaan Negeri) yang berkuasa.

Ketika ini kepimpinan Pakatan Rakyat masih terus berada di kediaman rasmi MB Perak.   Rakyat akan bersama-sama mereka malam ini.   Kerana lokasi asal, Stadium Perak telah dikunci oleh mereka yang di bawah telunjuk Umno.

Krisis politik Perak belum tentu bila berakhirnya.

oleh Rozaini Mohd Rosli

Ia menjadi suatu rentetan peristiwa yang akan menjadikan Pakatan Rakyat lebih matang dan berwaspada dalam segala serbi dan sudut menjamin bahawa prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan diawas utuh pada setiap masa dan ketika.

Setakat ini, pentadbiran yang telus, berjiwa rakyat dan yang mengamalkan kebaikan dan bersungguh terhadap kepentingan rakyat semata-mata tidak memadai untuk memperkukuhkan kuasa politik.   Para pejuang kebenaran dan keadilan perlu memiliki kebijakan memerangi kuasa-kuasa yang rakus dan ganas dalam merampas hak rakyat yang tidak ketahuan apa yang sebenarnya berlaku.

Kelalaian dan membiarkan diri dilalaikan dalam urusan-urusan yang tidak mengukuhkan kuasa rakyat akan menukarkan kemenangan kepada kegagalan.

Yang disangka titik bengik, yang diutarakan oleh sebahagian rakyat dan pemimpin kecil wajarlah didengari oleh para pemimpin besar.   Jika sebaliknya berlaku, akibat yang buruk dan teruk akan berlaku menimpa Pakatan Rakyat.

BN bentuk k’jaan baru Perak Feb 4, 09 3:51pm 5:06pm malaysiakini.com

BN mempunyai cukup jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk membentuk kerajaan baru Perak selepas empat Adun melompat kepadanya secara terbuka dan rasmi hari ini. Tiga bekas wakil rakyat Pakatan termasuk Adun Jelapang dan juga bekas Timbalan Speaker DUN Perak, Hee Yit Foong akan kekal wakil rakyat bebas tetapi bersama kerajaan BN, kata timbalan perdana menteri. Datuk Seri Najib Razak berkata beliau akan menghadap Sultan Perak secepat mungkin. Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim – yang mengumumkan melompat kepada PKR selama 10 hari – kembali semula kepada Umno. Nasaruddin menafikan beliau “diculik” seperti dakwaan menteri besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin.

Lagi Adun Perak pasang niat keluar BN
Muda Mohd Noor | Jan 28, 09 12:39pm malaysiakini.com
Selepas kejutan yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, kini wakil rakyat Lintang pula Datuk Ahmad Fakeh Adam sedang menimbang untuk meninggalkan Umno “beberapa hari lagi”.

“Ketika ini 50-50. (Niat) nak kekal (dalam Umno) dengan masuk pembangkang sama banyak.

“Orang PAS, PKR dan DAP hari-hari telefon dan hantar SMS. Yang dah datang jumpa pun ada, yang nak jumpa pun ada lagi,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau bagaimanapun belum memutuskan parti pembangkang yang bakal disertainya jika meninggalkan BN.

Beliau menambah, ada pemimpin DAP ingin menawarkan jawatan menteri besar Perak tetapi “saya tahu itu gula-gula sahaja.”

“(Tetapi) hati rasa hendak keluar (Umno). Kita (Adun) telah dipinggirkan.

“Kami seolah-olah tidak penting. Yang lebih penting sekarang ialah ketua Umno bahagian,” katanya.

Ahmad Fakeh yang kalah bertanding jawatan ketua Umno bahagian Sungai Siput, Oktober lalu, berkata, ada beberapa Adun lagi yang tidak puas hati dengan keadaan yang berlaku sekarang.

Beliau kalah kepada timbalannya Datuk Mohd Zulkifli Harun dalam pertandingan satu lawan satu jawatan tersebut.

Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (Adun Kubu Gajah), Datuk Hamdi Abu Bakar (Pengkalan Baharu) dan Hamidah Osman (Sungai Rapat) diura-urakan turut kecewa.

Ahmad Fakeh bagaimanapun tidak pasti sama ada mereka juga berhasrat untuk meninggalkan Umno dan menyertai parti pembangkang.

“Saya sudah membawa perkara ini dalam mesyuarat Umno Perak tetapi tiada tindakan yang diambil.

“Tetapi bila (Datuk) Nasharuddin Hashim (Adun Bota) keluar parti, baru kelam-kabut, baru kami ini penting,” katanya.

Nasharuddin mengumumkan menyertai PKR hujung minggu lalu, menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

Ahmad Fakeh berkata, beliau kecewa kerana kerajaan pusat lambat memberi peruntukan kewangan walaupun wang sudah ada.

Sebaliknya, kata beliau, peringkat persekutuan begitu cepat meluluskan bantuan kepada ketua Umno bahagian.

Sebagai contoh, katanya, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mudah memberikan bantuan kepada ketua bahagian walaupun mereka bukan wakil rakyat.

“Ini menjadi masalah kepada Adun yang tidak memegang jawatan ketua bahagian,” katanya lagi.

Bantuan tetap kerajaan pusat kepada setiap Adun ialah RM300,000 setahun, tidak termasuk peruntukan tambahan yang perlu dimohon, tambahnya.

Katanya lagi, seseorang Adun sukar membantu penduduk di kawasan yang diwakilinya tanpa wang peruntukan tersebut.

Oleh Rozaini Mohd Rosli

Apabila rakyat meminta hak mereka, pemimpin berkata,”Tunggu dulu…kita perlu tengok agar tidak membuat kesilapan…perlu selidiki mekanisme dan pentafsiran peraturan dan undang-undang mengenainya…tak boleh terburu-buru.”

Bila rakyat yang tidak ada rumah dan tanah memohon keduanya, pemimpin berkata,” Kita perlu selidik undang-undang…kita tak boleh buat sesuatu dengan terburu-buru…banyak pentafsiran oleh peguam-peguam yang berbeza…”

Kebiasaannya, rakyat akan mengadu kepada insan-insan yang mendekati mereka.

Keperluan rakyat terlalu banyak. Tetapi jentera kerajaan juga sudah semakin bertambah, khususnya bagi Pakatan Rakyat yang telah memerintah lima buah negeri di Semenanjung Malaysia.

Rakyat meletakkan kemenangan pada kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat agar menyegerakan usaha untuk meringankan bebanan dan memenuhi keperluan asas rakyat dalam hal perumahan, tanah, pendidikan anak-anak, dan kesihatan.

Kerajaan Selangor yang dipimpin oleh Menteri Besar, Khalid Ibrahim, telah mengetengahkan usaha merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor untuk memberi sebahagian keselesaan kepada rakyat.

Tentunya fokus terhadap mencapai kecemerlangan dalam memberi khidmat kepada rakyat menjadi antara agenda utama kerjaan Negeri Selangor. Ia menuntut suatu gandingan yang cemerlang antara agensi dan jentera kerajaan negeri dalam memenuhi dasar negara dan pengoperasian Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor.

Pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri Selangor sewajarnya menjadi pengangkat utama agenda Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor (KPRNS). Rakyat tidak akan bertolak ansur dalam soal tersebut. Suatu ukuran baru mengenai prestasi pegawai dan kakitangan kerajaan Negeri Selangor perlu diwujudkan. Kesemua gerak kerja dan pengoperasian dasar kerajaan negeri adalah bertumpu kepada menjadikan keduanya rakyat-oriented. Budaya sedemikian sungguh asing bagi pegawai dan kakitangan yang sudah biasa dengan didikan Umno-BN yang menjadikan program lebih ketua-oriented dan menghasilkan rakyat yang terasa dis-oriented dengan janji-janji pemimpin dan sifat oppotunis pegawai dan kakitangan kerajaan negeri. Budaya sedemikian menyuburkan rasuah dan penyelewengan serta menimbulkan budaya mementingkan diri yang mendalam; ketiga-tiganya akan menyusahkan rakyat dan menghalang mereka dari mendapat apa yang patut untuk mereka terima.

Ukuran baru prestasi yang disebut sebelum ini perlu bagi memastikan bahawa pegawai dan kakitangan yang berada dalam tampuk perkhidmatan kepada rakyat melaksanakan amanah mereka tanpa diskriminasi dan dengan sikap yang profesional.

Lanjutan daripada itu, pegawai dan kakitangan yang tidak memenuhi kriteria tersebut wajarlah diganti dengan pegawai dan kakitangan yang lebih bersedia, rela dan meyakini dasar-dasar dan budaya kerja yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Rakyat tidak lagi sanggup untuk terus berada di bawah satu gaya dan budaya pentadbiran yang mirip kerajaan Umno-BN.

Beberapa orang penduduk di Selangor menyuarakan harapan bahawa kerajaan negeri Selangor yang baru ini tidak melengahkan usaha-usaha yang berkesan dalam memperbaiki sistem dan budaya kerja di kalangan jentera kerajaan negeri Selangor. Merayatkan ekonomi negeri Selangor memerlukan suatu jentera yang bukan sahaja arif mengenai pengagihan sumber ekonomi kerajaan negeri tetapi yang sensitif dan menghayati keperluan utama dalam arena pembangunan insan sebagai satu sektor yang akan menjamin daya saing rakyat negeri Selangor di peringkat antarabangsa dan global. Pemacuan pembangunan insan rakyat Selangor akan menghasilkan satu kelompok rakyat yang tinggi ilmu pengetahuannya, senantiasa memelihara alam sekitar, menghindar rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan, dan kelembapan dalam gerak kerja pentadbiran kerajaan negeri serta benar-benar boleh diharapkan untuk menjana kesejahteraan masa depan negara dan rakyat marhain.

Kerajaan yang berjaya di mata rakyat yang sudah celek politik ialah kerajaan yang bertindak serta-merta dan tidak jemu mendengar aduan rakyat (walau dari mana datangnya), menelitinya segera tanpa sebarang kelengahan, dan membuat keputusan-keputusan yang menjadi priority dalam jangkamasa yang sesingkat mungkin. Rakyat senantiasa diberi satu time frame yang jelas oleh kerajaan yang mentadbir dalam memberikan keputusan-keputusan yang menyentuh priority Rakyat. Hubungan dua hala sedemikian adalah di antara ciri-ciri pentadbiran yang cemerlang. Kebiasaannya dalam era pentadbiran kerajaan negeri Umno-BN, priority mereka yang memerintah tidak sama dengan priority rakyat. Dengan sebab itulah berlaku kemiskinan rakyat yang berterusan, penjagaan kesihatan rakyat yang buruk, kos kehidupan rakyat yang tinggi, perumahan yang jengkel dan berbagai lagi kemelesetan yang dialami oleh rakyat.

Rakyat meletakkan harapan yang cukup tinggi pada pentadbiran negeri-negeri Pakatan Rakyat, khususnya di negeri Selangor.

Seperti insinuasi harapan dalam kata-kata seorang pengundi Cina muda di Kuala Terengganu sebelum hari mengundi dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu, ”Semoga berjaya, (Pakatan Rakyat).”

Khairul Azlam
Fri | Jan 02, 09 | 11:00:31 am MYT
KUALA TERENGGANU, 2 Jan (Hrkh)“Usah sekali-kali mencari musuh, tetapi jika musuh datang kita akan menghadapinya.”

Begitulah prinsip calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut, 52 yang diumumkan oleh Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada satu Majlis Perisytiharan Calon yang diadakan di Stadium Negeri Kuala Terengganu, malam semalam

PAS Terengganu menaruh harapan serta keyakinan yang tinggi mampu memenangi Pilihan Raya Kecil P.36 Kuala Terengganu yang akan diadakan pada 17 Januari ini dengan melatkkan calon yang berkaliber dan berwibawa.

Beliau merupakan Adun Wakaf Mempelam, iaitu salah satu Adun dalam Parlimen Kuala Terengganu. Wahid juga adalah Adun sejak lima penggal dari tahun 1990 lagi memiliki rekod yang cemerlang sebagai Adun atau Exco selama sepenggal dan sebagai Adun pembangkang.

Beliau dilahirkan pada 29 September 1957 di Kampung Pulau Rusa dan kini menetap di Kampung Seberang Baruh Kiri, Jalan Kelantan, Kuala Terengganu.

Mempunyai seorang isteri bernama Wan Fatimah Wan Abdullah bersama 9 orang anak yang terdiri dari dua lelaki dan tujuh orang perempuan. Isterinya, merupakan seorang warga pendidik yang gigih di sebuah sekolah kerajaan di negeri ini.

Wahid mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu. Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu dan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

Beliau juga mempunyai pengalaman bekerja sebagai Pegawai tadbir di UPM, menjalankan perniagaan berasaskan pertanian, pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Menyuarat Kerajaan (Exco) negeri Terengganu dari tahun 1999-2005.

Kini, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam sejak dari tahun 1990 hingga sekarang. Selain itu, pengalamannya dalam parti PAS pernah memegang jawatan Bendahari Dewan Pemuda PAS Pusat dan Ketua Pemuda PAS Terengganu dari tahun 1991/ 1993.

Wahid masih lagi sebagai Bendahari Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu dan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terenganu. – azm _

oleh Rozaini Mohd Rosli

Disebut oleh ramai dalam arena perundangan dan undang-undang, bahawa dalam sesebuah masyarakat yang dikatakan masyarakat prihatin dan penyayang,   proses undang-undang menjadi tempat terakhir bagi rakyat untuk menuntut hak mereka.   Dengan itu, seboleh mungkin ia wajar dielakkan dengan penyelesaian secara harmoni di luar mahkamah.   Jika kepentingan rakyat menjadi perkara nombor uno (satu), tiada apa yang boleh menjadi halangan pihak kerajaan persekutuan dan negeri bekerjasama untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat jelata dan memberikan kesejahteran kepada mereka dalam pelbagai bidang dan perkara.   Bukankah itu tugas dan tanggungjawab setiap pemimpin kerajaan persekutuan dan negeri?   Lebih segera perkara itu diterima oleh kedua-dua pihak, lebih baik jadinya keadaan rakyat Malaysia dari masa ke semasa secara berterusan.   Jika perkiraan politik tetap menjadi pilihan para pemimpin, lambat laun pemimpin yang sedemikian akan disingkirkan oleh rakyat dalam era informasi yang bebas didapati oleh rakyat kini.   Pembohongan dan rekaan tidak akan lagi bertahan walaupun sebentar.   Rakyat akan bangkit mengajar ahli-ahli politik yang sibuk berpolitik semata-mata dan tidak menghiraukan pada sebahagian besar keperluan rakyat.   Pandangan sedemikian meliputi wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat sendiri.

Benarlah kata Saifuddin Nasution, Ahli Parlimen Machang, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat,  bahawa akan tiba masanya dalam sesebuah pilihanraya, rakyat hanya akan memilih wakil-wakil dari kalangan mereka yang hanya dipercayai boleh menjamin kebajikan dan hak rakyat; bukan lagi pemimpin itu dipilih mengikut parti yang diwakili oleh ahli-ahli politik yang bertanding dalam mana-mana pilihanraya.

Hak rakyat akan terjamin jika para pemimpin wakil-wakil rakyat sentiasa meneliti keperluan rakyat dan mengatasinya dengan segala usaha, termasuk dengan menggunakan undang-undang.   Undang-undang adalah alat untuk mencapai tujuan memberi kesejahteraan kepada rakyat; ia bukan bertujuan untuk mencapai hasrat segelintir elit, yang berkuasa pula menggubal undang-undang mengikut kehendak mereka sendiri.

Pemberian hak milik tanah tanah kekal pada umumnya menjadi prerogatif (prerogative) kerajaan persekutuan yang telah diamanahkan sebagai pemelihara majoriti tanah di Semenanjung Malaysia menurut tafsiran Perlembagaan Malaysia dan Kanun Tanah Negara 1965.

Satu insiden yang berkait rapat dengan penguatkuasaan perlembagaan negara, dan juga Kanun Tanah Negara baru-baru ini timbul menjadi suatu isu yang menuntut suatu penyelesaian.   Ia berkenaan dengan kenyataan Timbalan Menteri Najib Razak bahawa Menteri Besar Perak tidak boleh meluluskan secara unilateral keputusan untuk memberi tanah milik kekal (freehold lands) kepada rakyat yang layak di Perak kerana ia bukan bidang kuasa kerajaan negeri.   Hanya Majlis Tanah Negara saja yang boleh meluluskan perkara sedemikian.

Persoalannya bagaimana dengan tanah-tanah yang telah diberikan oleh Menteri-Menteri Besar kerajaan BN yang telah memberi tanah kepada orang-orang yang terpilih oleh mereka dahulu?   Ia perlu dilihat dan diteliti kembali.   Tanah-tanah di Bukit Antarabangsa yang jelas sebuah kawasan tadah air juga masih menjadi tanda tanya siapakah yang sebenarnya berkuasa memberikan tanah-tanah tersebut kepada para penghuninya.

Kenyataan Najib Razak seolah-olah dilihat sebagai ada dua arasukur (double standard) di pihak kerajaan persekutuan mengenai pemberian tanah milik kekal – satu aarasukur untuk kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat sekarang dan satu lagi untuk kerajaan negeri BN dahulu dan sekarang.

Perlu diteliti bahawa Kanun Tanah yang disebut oleh Najib Razak telah diluluskan dalam tahun 1965.   Ia menjelaskan bahawa perjanjian sebelum 1hb Januari 1966 dan  perjanjian selepas tarikh tersebut mempunyai implikasi yang berbeza.

 

Najib Razak perlulah memperjelaskan perkara dengan mengambilkira tindakan-tindakan kerajaan negeri yang telah ditadbir dan diperintah oleh BN dan dengan wewenang memberi hak milik kekal tanah kepada orang-orang yang terpilih.

 

Ada dua persoalan yang berbeza:

 

1.         Siapakah yang mempunyai kuasa memberi hak milik kekal tanah di negeri-negeri,

dan

2.         Apakah status hak milik tanah sebelum termaktubnya Kanun Tanah 1965

(National Land Code 1965)?

 

 

Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa sepenuhnya dalam menentukan dan memberi hak milik kekal tanah di negeri-negeri menurut bacaan Kanun Tanah 1965 (NLC).   NLC telah menjelaskan hak tanah negeri dan persekekutuan seperti berikut:

 

Tanah negeri bermakna semua tanah di Negeri (termasuk dasar mana-mana sungai, dan pantai dan juga dasar lautan, di antara wilayah-wilayah Negeri tersebut atau di tahap-tahap kawasan perairan) selain daripada:

 

(a) tanah bermilik

(b) tanah simpanan

(c) tanah lombong

(d) mana-mana tanah yang, di bawah peruntukan-peruntukan mana-mana undang-undang berhubung dengan perhutanan (sama ada diluluskan sebelum atau selepas permulaan Akta ini) adalah untuk sementara waktu menjadi hutan simpanan.

 

State land means all land in the State (including so much of the bed of any river, and of the foreshore of the sea, as is within the territories of the State or the limits of territorial waters) other than:

(a) alienated land

(b) reserved land

(c) minimg land

(d) any land which, under the provision of any law relating to forests (whether passed before or after the commencement of this Act) is for the time being reserved forests.

 

Oleh itu kerajaan persekutuan memiliki sebahagian besar tanah di Semenanjung.

 

Dalam pembacaan seterusnya, seksyen 4 NLC menyebut:

 

Pengecualian

 

(1) Tiada apa-apa dalam Akta ini boleh menguatkuasakan operasi sebelumnya atau apa-apa yang telah dilakukan di bawah mana-mana undang-undang tanah terdahulu, sejauh mana ianya berkaitan dengan tanah, peruntukan mana-mana undang-undang lainyang diluluskan sebelum mula berkuatkuasanya Akta ini…

 

(1)        Nothing in this Act shall affect the past operation of or anything done under, any provision land law or, so far as they relate to land, the provisions of any other law passed before the commencement of this Act…

 

Justru, segala perjanjian dan Akta yang berkuatkuasa sebelum NLC adalah sah.   Sekiranya berlaku percanggahan di antara Akta sebelum NLC dan NLC sendiri, maka Akta dan peruntukan yang termaktub sebelum NLC adalah mengatasi NLC dan dipakai (perenggan akhir Seksyen 4).

 

Jika NLC digunakan dalam konteks negeri Perak, daerah baru (new district) disebut sebagai …bermakna satu dari daerah-daerah di mana tanah jajahan Negeri telah dibahagikan dengan pemberitahuan dalam Warta di bawah perenggan (a) dari seksyen 11 oleh Pihak Berkuasa Negeri pada atau selepas satu haribulan Januari, 1966… ( …one of the districts into which the territory of the State has been divided by notification in the Gazette under paragraph (a) of section 11 by the State Authority on or after the first day of January 1966) (Seksyen 160A).

 

Dengan itu kerajaan negeri boleh memberi hak pemilikan tanah kepada rakyat, dengan persetujuan kerajaan persekutuan menerusi Majlis Tanah Negara (MTN) (Perkara 91, Perlembagaan Malaysia), dengan jangkamasa tidak lebih 99 tahun atau sebagai pemilikan kekal (freeholds) (Seksyen 76).

 

Di sinilah akan terpamer ketulusan kerajaan persekutuan dalam meletakkan kepentingan rakyat sebagai nombor uno; sama ada bersedia berganding bahu dengan kerajaan negeri yang telah berpuashati bahawa daerah-daerah baru itu sesuai untuk diberikan hak milik kekal kepada rakyat berkenaan (Seksyen 76[iii]).

 

Urutan dari kuasa luas yang dipegang oleh kerajaan persekutuan, Najib Razak perlu dengan adil menonjolkan juga bahawa kerajaan persekutuan bertanggungjawab sepenuhnya mengenai bencana Bukit Antarabangsa.  

Persoalannya adakah pemilikan tanah di situ (Bukit Antarabangsa) diatas arahan dari kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri?   Jika tidak, kerajaan negeri yang bertanggungjawab memberi hak milik tanah di situ telah bertindak di luar bidang dan batas kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan dan Kanun Tanah Negara 1965.  

Kajian terperinci mengenai perkara itu sewajarnya dilaksanakan segera bagi menghindar situasi di mana rakyat tersepit di antara persaingan politik ahli-ahli politik narcissist, satu situasi yang mengakibatkan rakyat, tanpa mengira ras, agama dan kaum, menghadapi kesusahan dan derita yang berpanjangan.

 

Meneliti lebih lanjut, Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) dan Kg Baru Cina, dengan penduduk seramai 149000 orang di negeri Perak, adalah hasil daripada pendudukan yang berdekad-dekad dari masa menentang Komunis dahulu.   RPT dan Kg Baru baru tentunya telah diberi kelulusan untuk dibina di atasnya kediaman oleh pihak-pihak yang berwajib menurut Perlembagaan dan Kanun Tanah sebelum 1965.   Dengan itu, Kerajaan Negeri berkuasa untuk memberi hak milik kekal tanah tersebut yang sebenarnya menjadi hak rakyat yang telah mendiami kawasan tersebut – mereka hanya menunggu geran hak milik tanah yang sah di sisi undang-undang yang telah sekian lama tertunda (seksyen 8 dan 9, Kanun Tanah 1928).   Di Shah Alam, Petaling Jaya, Ampang Hulu Kelang dan lain-lain kawasan rakyat telahpun mendapat geran hak milik kekal tanah mereka yang mereka diami sekian lama dulu.   Kerajaan Negeri juga berkuasa untuk memutuskan sama ada untuk meneruskan geran yang akan mengakhiri jangkamasanya diperbaharui atau menjadikannya sebagai hak milik kekal (seksyen 42, NLC 65).

 

Kerajaan yang ehsan dan prihatin rakyat adalah kerajaan yang proaktif dalam memberi tanah untuk dimiliki oleh setiap rakyat yang memerlukan dengan kadar segera.

Sebarang penangguhan adalah merupakan suatu bentuk kezaliman yang ketara terhadap rakyat jelata.