Justice For All Malaysia

Tanah adalah milik rakyat

Posted on: December 31, 2008

oleh Rozaini Mohd Rosli

Disebut oleh ramai dalam arena perundangan dan undang-undang, bahawa dalam sesebuah masyarakat yang dikatakan masyarakat prihatin dan penyayang,   proses undang-undang menjadi tempat terakhir bagi rakyat untuk menuntut hak mereka.   Dengan itu, seboleh mungkin ia wajar dielakkan dengan penyelesaian secara harmoni di luar mahkamah.   Jika kepentingan rakyat menjadi perkara nombor uno (satu), tiada apa yang boleh menjadi halangan pihak kerajaan persekutuan dan negeri bekerjasama untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat jelata dan memberikan kesejahteran kepada mereka dalam pelbagai bidang dan perkara.   Bukankah itu tugas dan tanggungjawab setiap pemimpin kerajaan persekutuan dan negeri?   Lebih segera perkara itu diterima oleh kedua-dua pihak, lebih baik jadinya keadaan rakyat Malaysia dari masa ke semasa secara berterusan.   Jika perkiraan politik tetap menjadi pilihan para pemimpin, lambat laun pemimpin yang sedemikian akan disingkirkan oleh rakyat dalam era informasi yang bebas didapati oleh rakyat kini.   Pembohongan dan rekaan tidak akan lagi bertahan walaupun sebentar.   Rakyat akan bangkit mengajar ahli-ahli politik yang sibuk berpolitik semata-mata dan tidak menghiraukan pada sebahagian besar keperluan rakyat.   Pandangan sedemikian meliputi wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat sendiri.

Benarlah kata Saifuddin Nasution, Ahli Parlimen Machang, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat,  bahawa akan tiba masanya dalam sesebuah pilihanraya, rakyat hanya akan memilih wakil-wakil dari kalangan mereka yang hanya dipercayai boleh menjamin kebajikan dan hak rakyat; bukan lagi pemimpin itu dipilih mengikut parti yang diwakili oleh ahli-ahli politik yang bertanding dalam mana-mana pilihanraya.

Hak rakyat akan terjamin jika para pemimpin wakil-wakil rakyat sentiasa meneliti keperluan rakyat dan mengatasinya dengan segala usaha, termasuk dengan menggunakan undang-undang.   Undang-undang adalah alat untuk mencapai tujuan memberi kesejahteraan kepada rakyat; ia bukan bertujuan untuk mencapai hasrat segelintir elit, yang berkuasa pula menggubal undang-undang mengikut kehendak mereka sendiri.

Pemberian hak milik tanah tanah kekal pada umumnya menjadi prerogatif (prerogative) kerajaan persekutuan yang telah diamanahkan sebagai pemelihara majoriti tanah di Semenanjung Malaysia menurut tafsiran Perlembagaan Malaysia dan Kanun Tanah Negara 1965.

Satu insiden yang berkait rapat dengan penguatkuasaan perlembagaan negara, dan juga Kanun Tanah Negara baru-baru ini timbul menjadi suatu isu yang menuntut suatu penyelesaian.   Ia berkenaan dengan kenyataan Timbalan Menteri Najib Razak bahawa Menteri Besar Perak tidak boleh meluluskan secara unilateral keputusan untuk memberi tanah milik kekal (freehold lands) kepada rakyat yang layak di Perak kerana ia bukan bidang kuasa kerajaan negeri.   Hanya Majlis Tanah Negara saja yang boleh meluluskan perkara sedemikian.

Persoalannya bagaimana dengan tanah-tanah yang telah diberikan oleh Menteri-Menteri Besar kerajaan BN yang telah memberi tanah kepada orang-orang yang terpilih oleh mereka dahulu?   Ia perlu dilihat dan diteliti kembali.   Tanah-tanah di Bukit Antarabangsa yang jelas sebuah kawasan tadah air juga masih menjadi tanda tanya siapakah yang sebenarnya berkuasa memberikan tanah-tanah tersebut kepada para penghuninya.

Kenyataan Najib Razak seolah-olah dilihat sebagai ada dua arasukur (double standard) di pihak kerajaan persekutuan mengenai pemberian tanah milik kekal – satu aarasukur untuk kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat sekarang dan satu lagi untuk kerajaan negeri BN dahulu dan sekarang.

Perlu diteliti bahawa Kanun Tanah yang disebut oleh Najib Razak telah diluluskan dalam tahun 1965.   Ia menjelaskan bahawa perjanjian sebelum 1hb Januari 1966 dan  perjanjian selepas tarikh tersebut mempunyai implikasi yang berbeza.

 

Najib Razak perlulah memperjelaskan perkara dengan mengambilkira tindakan-tindakan kerajaan negeri yang telah ditadbir dan diperintah oleh BN dan dengan wewenang memberi hak milik kekal tanah kepada orang-orang yang terpilih.

 

Ada dua persoalan yang berbeza:

 

1.         Siapakah yang mempunyai kuasa memberi hak milik kekal tanah di negeri-negeri,

dan

2.         Apakah status hak milik tanah sebelum termaktubnya Kanun Tanah 1965

(National Land Code 1965)?

 

 

Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa sepenuhnya dalam menentukan dan memberi hak milik kekal tanah di negeri-negeri menurut bacaan Kanun Tanah 1965 (NLC).   NLC telah menjelaskan hak tanah negeri dan persekekutuan seperti berikut:

 

Tanah negeri bermakna semua tanah di Negeri (termasuk dasar mana-mana sungai, dan pantai dan juga dasar lautan, di antara wilayah-wilayah Negeri tersebut atau di tahap-tahap kawasan perairan) selain daripada:

 

(a) tanah bermilik

(b) tanah simpanan

(c) tanah lombong

(d) mana-mana tanah yang, di bawah peruntukan-peruntukan mana-mana undang-undang berhubung dengan perhutanan (sama ada diluluskan sebelum atau selepas permulaan Akta ini) adalah untuk sementara waktu menjadi hutan simpanan.

 

State land means all land in the State (including so much of the bed of any river, and of the foreshore of the sea, as is within the territories of the State or the limits of territorial waters) other than:

(a) alienated land

(b) reserved land

(c) minimg land

(d) any land which, under the provision of any law relating to forests (whether passed before or after the commencement of this Act) is for the time being reserved forests.

 

Oleh itu kerajaan persekutuan memiliki sebahagian besar tanah di Semenanjung.

 

Dalam pembacaan seterusnya, seksyen 4 NLC menyebut:

 

Pengecualian

 

(1) Tiada apa-apa dalam Akta ini boleh menguatkuasakan operasi sebelumnya atau apa-apa yang telah dilakukan di bawah mana-mana undang-undang tanah terdahulu, sejauh mana ianya berkaitan dengan tanah, peruntukan mana-mana undang-undang lainyang diluluskan sebelum mula berkuatkuasanya Akta ini…

 

(1)        Nothing in this Act shall affect the past operation of or anything done under, any provision land law or, so far as they relate to land, the provisions of any other law passed before the commencement of this Act…

 

Justru, segala perjanjian dan Akta yang berkuatkuasa sebelum NLC adalah sah.   Sekiranya berlaku percanggahan di antara Akta sebelum NLC dan NLC sendiri, maka Akta dan peruntukan yang termaktub sebelum NLC adalah mengatasi NLC dan dipakai (perenggan akhir Seksyen 4).

 

Jika NLC digunakan dalam konteks negeri Perak, daerah baru (new district) disebut sebagai …bermakna satu dari daerah-daerah di mana tanah jajahan Negeri telah dibahagikan dengan pemberitahuan dalam Warta di bawah perenggan (a) dari seksyen 11 oleh Pihak Berkuasa Negeri pada atau selepas satu haribulan Januari, 1966… ( …one of the districts into which the territory of the State has been divided by notification in the Gazette under paragraph (a) of section 11 by the State Authority on or after the first day of January 1966) (Seksyen 160A).

 

Dengan itu kerajaan negeri boleh memberi hak pemilikan tanah kepada rakyat, dengan persetujuan kerajaan persekutuan menerusi Majlis Tanah Negara (MTN) (Perkara 91, Perlembagaan Malaysia), dengan jangkamasa tidak lebih 99 tahun atau sebagai pemilikan kekal (freeholds) (Seksyen 76).

 

Di sinilah akan terpamer ketulusan kerajaan persekutuan dalam meletakkan kepentingan rakyat sebagai nombor uno; sama ada bersedia berganding bahu dengan kerajaan negeri yang telah berpuashati bahawa daerah-daerah baru itu sesuai untuk diberikan hak milik kekal kepada rakyat berkenaan (Seksyen 76[iii]).

 

Urutan dari kuasa luas yang dipegang oleh kerajaan persekutuan, Najib Razak perlu dengan adil menonjolkan juga bahawa kerajaan persekutuan bertanggungjawab sepenuhnya mengenai bencana Bukit Antarabangsa.  

Persoalannya adakah pemilikan tanah di situ (Bukit Antarabangsa) diatas arahan dari kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri?   Jika tidak, kerajaan negeri yang bertanggungjawab memberi hak milik tanah di situ telah bertindak di luar bidang dan batas kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan dan Kanun Tanah Negara 1965.  

Kajian terperinci mengenai perkara itu sewajarnya dilaksanakan segera bagi menghindar situasi di mana rakyat tersepit di antara persaingan politik ahli-ahli politik narcissist, satu situasi yang mengakibatkan rakyat, tanpa mengira ras, agama dan kaum, menghadapi kesusahan dan derita yang berpanjangan.

 

Meneliti lebih lanjut, Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) dan Kg Baru Cina, dengan penduduk seramai 149000 orang di negeri Perak, adalah hasil daripada pendudukan yang berdekad-dekad dari masa menentang Komunis dahulu.   RPT dan Kg Baru baru tentunya telah diberi kelulusan untuk dibina di atasnya kediaman oleh pihak-pihak yang berwajib menurut Perlembagaan dan Kanun Tanah sebelum 1965.   Dengan itu, Kerajaan Negeri berkuasa untuk memberi hak milik kekal tanah tersebut yang sebenarnya menjadi hak rakyat yang telah mendiami kawasan tersebut – mereka hanya menunggu geran hak milik tanah yang sah di sisi undang-undang yang telah sekian lama tertunda (seksyen 8 dan 9, Kanun Tanah 1928).   Di Shah Alam, Petaling Jaya, Ampang Hulu Kelang dan lain-lain kawasan rakyat telahpun mendapat geran hak milik kekal tanah mereka yang mereka diami sekian lama dulu.   Kerajaan Negeri juga berkuasa untuk memutuskan sama ada untuk meneruskan geran yang akan mengakhiri jangkamasanya diperbaharui atau menjadikannya sebagai hak milik kekal (seksyen 42, NLC 65).

 

Kerajaan yang ehsan dan prihatin rakyat adalah kerajaan yang proaktif dalam memberi tanah untuk dimiliki oleh setiap rakyat yang memerlukan dengan kadar segera.

Sebarang penangguhan adalah merupakan suatu bentuk kezaliman yang ketara terhadap rakyat jelata.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: